Isu Kesalahan Kata Dalam Media Cetak



Tips : Anda digalakkan untuk menekan gambar yang dipaparkan 
bagi mendapatkan kualiti gambar yang baik. >-<

                                                                                                                 

Isu Kesalahan Kata Berdasarkan Pembentukan Kata Baharu 
Dalam Media Cetak Dan Media Elektronik
                                                                                                                                                            
Tidak dinafikan, isu kesalahan kata berdasarkan pembentukan kata baharu dalam media cetak menjadi perhatian utama masyarakat. Keadaan ini semakin berkembang seiring dengan kemasukan kata baharu ke dalam bahasa Melayu. Dalam usaha menyesuaikan diri dengan perkembangan ini, kadangkala media cetak dan media elektronik cenderung menggunakan sistem imbuhan asing untuk membentuk perkataan baharu. Namun perkara ini sering menimbulkan kontroversi kerana penggunaan imbuhan asing tidak selaras dengan tatabahasa Melayu sedia ada. 

-------------------------------------
Isu Kesalahan Kata Dalam Media Cetak
-------------------------------------

1. Imbuhan Daripada Sanskrit
Sumber : Poster 


Kesalahan : Pasca Banjir 
Pembetulan : Pascabanjir 

Imbuhan awalan "pasca-" ialah bentuk awalan yang produktif dalam bahasa Melayu, yang memberi makna selepas. Perkataan "pascabanjir" seharusnya dieja rapat dan bukannya dieja sebagai "pasca banjir". Istilah "pascabanjir" ini merujuk kepada tempoh atau keadaan selepas banjir berlaku.

        Perkembangan bahasa Melayu yang berterusan menyebabkan imbuhan “pasca-” menjadi bahagian penting dalam sistem ejaan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, kesalahan ejaan sering berlaku kerana kurang perhatian orang ramai terhadap penggunaan awalan yang berasal dari bahasa Sanskrit. Oleh itu, adalah penting untuk memahami dan menerapkan peraturan tatabahasa bahasa Melayu yang betul dalam penggunaan imbuhan ini.

Contoh penggunaan penggunaan imbuhan awalan "pasca-" dalam konteks lain ialah :
1. "Pascasiswazah" yang merujuk kepada penuntut yang meneruskan pendidikan yang lebih tinggi selepas menamatkan ijazah pertama.
2. "Pascaprogram" yang merujuk kepada tempoh atau keadaan yang berlaku selepas program atau aktiviti tertentu dilaksanakan.

        Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penggunaan awalan yang betul dalam bahasa Melayu untuk mengelakkan salah faham dan mengekalkan kejelasan komunikasi. 


Sumber : Buku


Kesalahan : Tata Tertib 
Pembetulan : Tatatertib 

Imbuhan awalan "tata-" dalam bahasa Melayu digunakan khusus untuk membentuk kata nama yang menerangkan susunan atau peraturan. Contohnya bagi perkataan "tata tertib" yang sepatutnya ditulis tanpa ruang antara "tata" dan "tertib" iaitu "tatatertib". Istilah "tatatertib" merujuk kepada peraturan yang mesti dipatuhi.

Contoh penggunaan penggunaan imbuhan awalan "tata-" dalam konteks lain ialah :
1. "Tatacara" yang merujuk kepada adat istiadat, adat resam dan juga cara atau peraturan.
2. "Tatasusila" yang merujuk kepada adat sopan santun dan budi pekerti yang baik.

2. Imbuhan Daripada Arab-Parsi
Sumber : Buku


Kesalahan : Batiniyah 
Pembetulan : Batiniah 

Imbuhan akhiran “-iah” digunakan dalam bahasa Melayu untuk membentuk kata adjektif yang menerangkan sifat atau ciri yang terkandung dalam kata dasar. Penggunaan perkataan "Batiniyah" yang sepatutnya dieja sebagai "Batiniah" menggunakan akhiran yang betul. Istilah "Batiniah" merujuk kepada perkara yang berkaitan dengan batin atau rohani yang merupakan sebahagian daripada dimensi rohani manusia.

Contoh penggunaan penggunaan imbuhan akhiran "-iah" dalam konteks lain ialah :
1. "Alamiah" (alam + iah) yang merujuk kepada sifat semula jadi.
2.  "Lahiriah" (lahir + iah) yang merujuk kepada wujud pada kelahiran atau kelihatannya.

        Hal ini telah mencerminkan penggunaan peraturan tatabahasa bahasa Melayu yang betul dalam pembentukan kata adjektif. Perhatian terhadap penggunaan imbuhan yang betul dalam bahasa Melayu adalah penting untuk memastikan ketepatan dan kejelasan dalam komunikasi. Kesedaran tentang peraturan tatabahasa ini membantu memperkayakan kosa kata dan mengukuhkan pemahaman tentang makna yang tersirat dalam setiap perkataan yang digunakan.

3. Imbuhan Daripada Yunan-Latin-Inggeris
Sumber : Poster 


Kesalahan : Anti Rasuah
Pembetulan : Antirasuah

Imbuhan awalan "anti-" dalam bahasa Melayu menunjukkan ketidaksetujuan atau penentangan terhadap sesuatu parti atau fenomena. Perkataan "anti-rasuah" sepatutnya ditulis tanpa ruang antara "anti-" dan "rasuah" kerana "rasuah" ialah kata nama. Istilah "antirasuah" menggambarkan sikap tidak berat sebelah atau tidak menyokong terhadap perbuatan rasuah.

        Dalam penulisan, perkataan "antirasuah" perlu dieja secara rapat kerana melibtakan gabungan imbuhan "anti-" dengan kata nama. Walau bagaimanapun, jika kata nama yang diikuti oleh imbuhan ini adalah kata nama khas, maka perlu diletakkan tanda sempang di antara kedua-dua perkataan tersebut.

Contoh penggunaan penggunaan imbuhan awalan "anti-" dalam konteks lain ialah :
1. "Antipenjajah" yang merujuk kepada sikap tidak menyokong mana-mana penjajah.
2. "Anti-Israel" yang bermaksud sikap tidak memihak kepada Israel.


Rujukan

Nik Safiah Karim et.al. (2015). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Faridah Nazir et.al. (2024). Morfologi bahasa Melayu. MK e-Solutions Sdn. Bhd. 

Abdulfatah Haron Ibrahim. (2017). Ahli sunnah dan wujudiyah-batiniyah. Dewan Bahasa dan Pustaka .

Sri Rejeki Merdekawati. (2010). Tata tertib di sekolah dan di rumah. CV Rama Edukasitama. 

Nik Safiah Karim et.al. (2015). Kamus dewan edisi keempat. Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Mohd Hazreen Shah Hassan & Sharil Nizam Sha'ri. (2019). Analisis kesalahan penggunaan bahasa                 dalam rencana akhbar. Jurnal Pengajian Media Malaysia, vol 21 (2), 55-71.



-------------------------------------------------------------

Dari Kedah ke Pekan Sari,

Beli suasa di Kota tinggi;

Selesai sudah tugas diberi,

Di lain masa bersua lagi.


Semoga ilmu yang akan disampaikan ini bermanfaat kepada semua. 

>-<


Comments